Rabu, 09 Januari 2008

MALAIKAT MAUT: TETAMU YANG KERAP BERKUNJUNG

MALAIKAT MAUT: TETAMU YANG KERAP BERKUNJUNG

BETAPA kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang,
iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali, andainya manusia sedar
hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi
oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat
kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan
oleh Malaikat Izrail.

Justeru itu tidak hairan jika ramai manusia yang masih mampu bersenang
riang dan bergelak ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu
difikir dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia sebenarnya adalah
seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang
bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.

Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a,
bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini
70 kali dalam sehari.Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang,
didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail:
Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh
Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih
berseronok-seronok bergelak ketawa."

Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh
malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati
mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran
malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w
yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal
ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut.

Meskipun mata manusia hanya mampu melihat alam benda yang nyata, tidak
mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu. Namun pandangan
mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan
iman dan ilmu.

Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti
akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan.
Ada yang menganggap kematian itu adalah suatu tabi'e biasa sebagai
pendapat golongan atheis, dan tidak kurang pula orang yang mengaitkan
kematian itu dengan sebab-sebabnya yang zahir sahaja. Dia mengambil
logik bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti
diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti gempa bumi, banjir,
kebakaran dan juga kemalangan sama ada di udara, laut dan daratan
termasuk kemalangan jalan raya.

Selain itu mereka juga melihat kematian disebabkan oleh serangan
penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS,
demam denggi, ta'un dan sebagainya. Disebabkan manusia melihat
kematian hanya dari sudut sebab musabab yamg lumrah, maka manusia
sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang disebut
di atas. Jika berlaku kematian di kalangan mereka, lantas mereka
bertanya, "sebab apa si pulan itu mati, sakitkah atau
kemalangankah?".

Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran
malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai,
sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia,
mengenal pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah
tamat.

Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat
dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit
sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka.
Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku
kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh
orang itu ketika kejadian tersebut.

Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah
yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat
pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang, atau
mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya
tidak tertangguh walau sesaat.

Walau bagaimanapun ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi
sesuatu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya
sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan
menjadi rahmat bagi orang beriman dan sabar, kerana Allah Taala
memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingat mati, untuk
itu dia menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu,
membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki
amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi
seorang yang muflis di akhirat kelak.

Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan
menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang yang masih
hidup supaya mereka sentiasa waspada dan tidak lalai dari berusaha
memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala
kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan
membawa sesalan yang tidak berguna.

Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan
kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih
menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan orang-orang
soleh itu jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa
sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka
terhadap dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak beri amaran terlebih
dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari
adanya bahaya di hadapannya, jika tiada amaran terlebih dahulu nescaya
dia akan menjerumus ke lembah bahaya itu.

Selain itu Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi
memenuhi janjiNya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh
Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain
menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan
tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk
bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah,
iaitu para rasul a.s.w., para nabi-nabi, para wali-wali dan
orang-orang solihin.

Selain itu malaikat maut mengadu kepada Tuhan betapa dirinya tidak
disenangi oleh keturunan Adam, dia mungkin dicemuh kerana dia
ditugaskan mencabut roh manusia, yang akan menyebabkan orang akan
berdukacita, kerana kehilangan sanak keluarga dan orang-orang yang
tersayang di kalangan mereka.

Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai
sebab-sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam.
Sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian
itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila berlaku
kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana menghidap
sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa
mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.

Ketika itu Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan
kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya
diutus oleh Allah SWT pada saat malapetaka atau sakit tenat seseorang
itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba.

Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang
telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir
Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail
hanyalah tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang
telah diamanahkan kepadanya.

Walau bagaimanapun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan
kematian seseorang itu sama ada bersebab atau tidak, sebagaimana yang
dinyatakan pada awal tulisan ini, bahawa ada ketikanya malaikat maut
datang hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi
malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak ketawa, hingga
malaikat maut merasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan
bahawa kematian itu tidak pernah mengenal, sama ada seseorang yang
sedang sakit ataupun ketika sihat dan segar bugar.

Firman Allah Taala:


Yang bermaksud:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya
mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat
(pula) mencepatkannya." (Surah Al-A'raf: ayat 34)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

komentarilah jika ada keganjalan dalam artikel ini sehingga kita dapat mencapai kepuasan didalamnya