Selasa, 11 Desember 2007

PERSIAPAN PARA DA’I; ILMU SENI

PERSIAPAN PARA DA’I; ILMU SENI

BERDAKWAH (USLUB DAKWAH)

1.0 MUQADDIMAH

Dewasa ini kita melihat semakin ramai mad’u yang diabaikan oleh para da’i rentetan ketidakfahaman tentang cara pendekatan/uslub yang sebetulnya, mengikut keadaan masa dan aqal mad’u. Bagi memastikan kesinambungan dakwah, para da’i hendaklah memiliki beberapa persiapan bagi memastikan mereka terus bersedia dan beristiqamah dalam mengajak manusia kepada mengenal Allah SWT. Persiapan-persiapan ini termasuklah persiapan ilmu, mentaliti, jasmani, rohani, akhlak dan daya kepimpinan.

Senjata pertama yang perlu dimiliki oleh seorang da’i ialah persiapan ilmu. Secaranya umumnya setiap da’i hendaklah memahami persoalan aqidah, akhlak, hukum-hukum fiqh dan seterusnya ke peringkat yang lebih besar dalam persoalan dakwah dan jihad.

Keberkesanan dakwah berkadar terus dengan selok belok dakwah yang antara lainnya menyentuh tentang uslub dakwah itu sendiri. Ilmu dakwah dan uslubnya adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan, umpama aur dengan tebing, yang menjadi penentu kepada kejayaan dakwah yang hendak dibawa.

2.0 DEFINISI DAN PENGERTIAN USLUB DAKWAH

‘Uslub’ adalah perkataan Arab yang membawa maksud jalan atau seni dalam percakapan atau pekerjaan. Juga didefinisikan sebagai metodologi atau cara melakukan sesuatu atau sistem melakukan sesuatu.

Usaha yang lebih berkesan dan realisasi mesej hanya boleh dicapai apabila dakwah itu mempunyai method atau uslub yang relevan dan terkini. Dengan ini, methodologi itu merupakan satu ilmu, yang perlu dipelajari, dikaji dan dikuasai sebaiknya bagi memudahkan segala urusan dalam lapangan kehidupan.

Uslub dakwah merupakan suatu sistem tersendiri yang tidak boleh dicipta oleh mana-mana sistem di alam cakerawala ini. Ianya bersifat rabbani; diwahyukan oleh Allah SWT kepada semua RasulNya untuk diaplikasikan mengikut tahap dan situasi. Uslub tersebut tidak ketinggalan zaman kerana ianya bersifat terkini selamanya yang bersumberkan Al Quran dan As Sunnah. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan siapakah yang lebih elok percakapannya dari mereka yang berdakwah kepada Allah dan beramal soleh serta berkata: Sesungguhnya aku termasuk di dalam golongan yang berserah diri kepada Allah SWT” (Surah al-Fussilat: 33)

3.0 USLUB AL-DAKWAH / PENDEKATAN DALAM BERDAKWAH

Dakwah dalam pengertian yang amat mudah adalah “ad-dakwah Ilallah” (menyeru ke jalan Allah). Namun ianya tidak mudah tercapai tanpa memahami semua rukun dakwah dan di antara rukun tersebut ialah pendekatan dakwah itu sendiri yang kita selalu menyebutnya sebagai uslub al-dakwah. Perlu diingatkan, ianya perlulah didahului oleh rukun yang sebelumnya (Maudhu’ al-dakwah/Topik utama dakwah, Al-Daie/Para pendakwah dan Al-Mad’uun/Penerima dakwah) kerana ia amat berkait rapat dan saling berturutan bagi mendapat gambaran yang jelas dan menyeluruh tentang konteks yang sebenarnya.

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, uslub dakwah ini diasaskan atas manhaj Rabbani. Di dalam rujukan utama kita yakni Al Quran, Allah SWT telah menggariskan uslub dakwah dengan jelas lagi nyata:

“Serulah ke jalan TuhanMu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau seru itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya TuhanMu Dialah jua yang lebih mengetahuiakan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang medapat hidayah petunjuk”. (Surah al-Nahl:125)

Dari panduan ayat di atas, terdapat sekurang-kurangnya tiga uslub yang menjadi tunjang utama uslub ini. Namun, masih terdapat banyak cabang uslub dakwah yang perlu dirujuki kepada As Sunnah sebagai sumber rujukan kedua.

3.1 Uslub Pertama: AL-HIKMAH

Al-Hikmah, dari Abu Ja’far bin Ya’qub memberi maksudnya sebagai “setiap kebaikan dari perkataan yang menghasilkan perbuatan yang tepat”

Kata al-Jurjani: ”Setiap tutur kata yang menepati kebenaran adalah hikmah”. Dan berkata Ibn Zaid: “Semua perkataan yang memberi pengajaran atau menyeru kepada kemuliaan atau menegah kamu dari keburukan adalah hikmah”.

Firman Allah SWT:

“Allah memberika hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut aturan yang dikehendakiNya) . Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya ia telah diberika kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajarn (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunaka akal fikirannya”. (Surah al-Baqarah:269)

Ayat di atas jelas mengaitkan hikmah itu dengan kebaikan. Dengan ini kita boleh mengambil iktbar bahawa al-Hikmah merupakan uslub terpenting dalam berdakwah. Ianya amat luas dan boleh dipecahkan sebagaimana berikut:

3.1.1 Uslub al-Ilm wa al-ma’rifah (Pendekatan ilmu dan pengetahuan)

Pendekatan akademik yang berteraskan ilmu pengetahuan yang mendalam dari sumber utama menjadi asas uslub ini. Ianya bersifat jitu, tepat dan ketat.

Pendekatan ini sesuai dengan ahli-ahli akademik yang mementingkan fakta dan ulasan yang menginginkan kepuasan mental yang akhirnya boleh tuduk dengan adanya kebenaran.

Contoh uslub ini ialah peristiwa yang berlaku kepada pendakwah-pendakwah awal ISalm yang berhijrah ke Habsyah. Mereka ini terdiri daripada 83 orang sahabat r.a termasuk Uthman bin Affan, isterina Ruqayyah binti Rasulullah SAW, Az-Zubir bin Al-Awwam, Ja’far bin Abdul Mutholib dan lain-lain.

An – Najasyi terlebih dahulu telah dimomokkan kepadanya maklumat yang negatif tentang Islam sebelum beliau mendapat penjelasan sebenar yang diberikan oleh ‘Abdullah bin Abi Rabi’ah dan ‘Amr bin al – ‘As dengan tomahan mereka: Wahai tuanku, sesungguhnya telah tiba di negara tuanku dari negara kami segolongan manusia yang selekeh. Mereka telah memecah – belahkan agama kaum mereka dan tidak akan menganut agama tuanku. Mereka datang ke sini membawa agama mereka ciptaan mereka sendiri. Kami tidak mengetahui agama yang dibawa itu dan begitu juga tuanku…”


Pembesar – pembesar an – Najasyi pula menyampuk: “Wahai tuanku kaum mereka lebih faham tentang mereka. Lebih mengerti tentang keburukan mereka. Oleh itu, serahkan mereka semua kepada mereka berdua biar mereka uruskan agar mereka pulang ke negara dan kaum mereka”.

Keadaan sebegini memerlukan kepada uslub yang sesuai untuk berdakwah mempertahankan yang hak dan menolak yang batil. Jika pendakwah – pendakwah ini gagal menyatakan sesuatu yang hak menurut uslub yang sesuai maka akan besarlah padahnya.


An – Najasyi berpaling kepada kumpulan umat Islam itu dan bertanya dalam uslub ‘ilmu: “Bagaimana keadaan kamu sebelum datang agama ini?


Ja’far bin ‘Abdul Mutholib tampil ke hadapan memberikan penjelasan. “Tuanku, kami adalah kaum yang jahil. Cari hidup kami menyembah berhala, makan bangkai, melakukan perkara – perkara keji, menyakiti jiran, yang kuat menindas yang lemah sehinggalah datang agama kami membaiki (keadaan) kami”.


An – Najasyi bertanyakan tentang ‘Isa a.s (kerana beliau beranggapan Islam menghina ‘Isa dengan mengatakan ‘Isa adalah hamba). Jawab Ja’far r.a: “Islam memberitahu kami dengan firman Allah:


“(Nabi Isa) Al-Masih tidak sekali-kali enggan dan angkuh daripada menjadi hamba bagi Allah, demikian juga (sikap) malaikat Yang sentiasa berdamping (dengan Allah). dan sesiapa Yang enggan dan angkuh daripada beribadat (menyembah dan memperhambakan diri) kepada Allah, serta ia berlaku sombong takbur, maka Allah akan menghimpunkan mereka semua kepadaNya”.(Surah an – Nisaa’: 172)


An – Najasyi bertanya lagi pandangan Islam terhadap ‘Isa. Ja’far menjelaskan dengan membaca surah Maryam yang menerangkan di dalamnya perihal kelahiran ‘Isa tanpa bapa dan dipertikaikan oleh kaumnya. ‘Isa a.s ketika masih di dalam buaian berkata – kata kepada kaumnya dengan mengatakan bahawa dia adalah hamba Allah yang akan diturunkan al – Kitab (Injil) kepadanya dan akan menjadi nabi.


Setelah mendengar penjelasan yang begitu tepat lagi menusuk hati, an – Najasyi menangis sehingga basah janggutnya. Katanya: “Agama Islam dan agama yang dibawa oleh ‘Isa adalah datang dari sumber yang sama. Beliau mengambil sebatang kayu dan membuat garisan di atas tanah seraya berkata: “Agama aku dan agama kamu amat hampir. Pemisah kita adalah garisan yang halus ini”. Kerana itu, umat Islam diberi jaminan keselamatan tinggal di negara Habsyah dengan damai.

3.1.2 Uslub al-Latf wa al-Layn (Pendekatan lembut dan lunak)

Berlembut dan lunak pada tempat yang sewajar dan sebetulnya merupakan bukti kebijaksanaan seorang pendakwah. Begitu juga keadaan berkeras pada tempatnya merupakan suatu cara berhikmah. Jelas dinyatakan dalam al Quran yang mengisahkan tentang nabi Musa a.s dan nabi Harun ketika mereka diperintahkan mengajak Fir’aun kepada agama Allah SWT:

“Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lembut, semoga ia beringat atau takut”. (Surah Thoha: 43-44)

Tersingkap juga melalui beberapa kisah Rasulullah SAW yang menggunakan pendekatan berlembah lembut ini. Antaranya ialah kisah seorang Badwi masuk ke dalam masjid dan membuang air kecil. Para sahabat yang melihat perbuatan tersebut berasa amat marah dan mengasarinya bagi memberi pengajaran kepadanya. Rasulullah SAW segera bertindak mententeramkan keadaaan tersebut dan mendekati Badwi tersebut dengan lemah lembut seraya bersabda:

“Sesungguhnya masjid tidak elok digunakan seperti yang anda lakukan, malah ianya digunakan untuk berzikir dan berdoa”.

Badwi tersebut beredar dengan baik di samping berkata: “Ya Allah, kasihanilah aku dan Muhammad, dan janganlah Engkau kasihi selain dari kami walau seorang sekalipun”.

Uslub ini juga dikenali sebagai uslub al – Maddarah. Kata Ibn Battol: “Al – Maddarah adalah dari akhlak mukminin iaitu bersopan dengan manusia, berlemah lembut dalam percakapan, jauhkan dari kekerasan, yang demikian itu salah satu kekuatan untuk menambat kasih sayang sesama manusia”.

Metodologi ini boleh juga diteliti melalui ayat Allah SWT:

“Maka dengan rahmat dari Allah kamu menjaadi lembut lunak dengan mereka. Kalau kasar dan berkeras hati nescaya mereka akan lari dari kamu”.

3.1.3 Uslub al-Quwwah wa as-Shiddah (Pendekatan kekuatan dan kekerasan)

Manusia diciptakan Allah dengan pelbagai rupa, akhlak dan budi bicara. Oleh itu, dakwah perlu dipelbagaikan uslubnya. Hikmah tidak semestinya berlemah lembut. Adakalanya berlaku kuat dan kasar juga merupakan hikmah.

Pendekatan ini dapat dilihat dari pengertian jihad pada zaman awal Islam. Setelah pendekatan lemah lembut tidak memberi kesan, malah umat Islam masih ditindas dan diperangi sehingga merasakan kota Madinah tidak selamat lagi didiami, maka Allah turunkan ayat ini:

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh, kerana sesungguhya mereka telah dianiaya”. (Surah al-Haj:39)

Dan terdapat banyak lagi ayat-ayat Quran yang menerangkan tentang uslub ini yang mana ianya digunakan mengikut kesesuaian masa-masa tertentu dan ditangguhkan pada masa yang tidak diperlukan. Pendekatan ini tidak diaplikasikan oleh baginda ASW ketika zaman permulan Islam di Mekkah. Uslub yang keras digunakan hanya apabila uslub yang lembut dan mengalah tidak memberi kesan. Kekerasan pada zaman tersebut bukanlah bermaksud dengan menggunakan senjata. Ianya adalah dengan menggunakan lidah dengan kata-kata yang tegas sehingga mampu menusuk hingga ke hati.

Namun perlu diingatkan, adalah lebih baik jika tidak keterlaluan. Cukup hanya sekadarnya kerana kita sebagai umat Islam adalah umat yang sederhana dan bencikan sikap ghulu (melampau).

3.2 Uslub Kedua: Al – Mau’izoh al - Hasanah

Uslub al – Mau’izoh al – Hasanah merupakan uslub al – Qur’an (method Rabbani) yang perlu diberikan perhatian. “Al – Mau’izoh itu asalnya adalah merujuk kepada kata – kata yang boleh melunakkan sanubari yang mendengar sebagai persediaan untuk melakukan kebaikan bagi menghayatinya” . Firman Allah SWT:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
(Surah al – Ahzab: 21)


Uswatun hasanah dan mau’izaoh hasanah terdapat banyak persamaan. Ibn ‘Athiyyah menyebut: “Mau’izoh hasanah itu merupakan suatu usaha untuk memberikan manusia rasa takut dan mengharap serta melunakkan manusia agar menjadikan ceria dan bersedia untuk menerima nilai – nilai murni”.


Al – Zamakhsyari menyebut: “Sesungguhnya mau’izoh hasanah itu ialah suatu yang tidak asing kepada mereka bahawa kamu menasihati mereka dengan tekad untuk memberi sesuatu yang bermanfa’at kepada mereka”.


Perkara utama dalam uslub ini ialah pendakwah hendaklah mencontohi Rasulullah s.a.w dalam segenap aspek sama ada perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan) , sifat dan tatacara hidup baginda s.a.w. Ianya dilakukanlah mengikut kemampuan kita. Baginda s.a.w bersabda:

“Apabila aku menyuruh kamu melakukan sesuatu perkara, maka lakukanlah perkara itu sekadar yang termampu”.


Suatu contoh yang unggul pernah berlaku ke atas Rasulullah s.a.w yang mungkin sukar dicontohi oleh kita pada hari ini:

“Suatu hari harta rampasan perang (al – Ghanimah) dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Setelah dihitung, didapati jumlahnya sebanyak sembilan puluh ribu dirham dilonggokkan semuanya di atas tikar daun tamar. Baginda membahagikan harta itu kepada yang berhak menerima sehingga habis semuanya. Tiba – tiba datang lagi sahabat yang meminta haknya kerana beliau belum mendapat apa – apa. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: “Pergilah ke kedai yang menjual keperluanmu dan belilah barang – barang itu secara hutang. Katakan kepada tuan kedai itu bahawa aku akan membayar kepadanya”. Mendengar kata – kata itu, Umar bin al – Khattab mencelah dan berkata: “Ya Rasulullah! Mengapa kamu membebankan dirimu sesuatu yang tidak sepatutnya kamu tanggung. Perkara yang sudah selesai, biarkanlah”. Mendengar kata – kata itu air muka Rasulullah s.a.w berubah tanda tidak senang dengan kata – kata Umar r.a lalu tampil seorang lelaki Ansar dan berkata: “Ya Rasulullah teruskan memberi kesanggupan berbelanja kerana Allah yang akan membayarnya nanti”. Mendengar kata – kata itu Rasulullah tersenyum tanda menyukai tindakannya”. (Mustalzimat al – Da’wah al – ‘Asr al – Hadir: 121)

Uswah Hasanah banyak persamaan dengan qudwah hasanah. Pendakwah perlu menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti oleh mad’u. Contoh yang baik ini bukan sahaja pada kata – kata dan tingkah laku malah sampai air muka pun perlu diambil kira dengan sentiasa bermuka manis walaupun dalam keadaan marah.


Contohnya Rasulullah s.a.w dalam siri dakwahnya, suatu hari didatangi oleh seorang ‘Arab bengis kepada baginda seraya berkata dengan kasar: “Kamukah yang bernama Muhammad bin ‘Abdullah?”. Jawab Rasulullah dengan lemah – lembut: “Ya, sayalah Muhammad bin ‘Abdullah”. ‘Arab itu bertanya lagi: “Kamukah yang selalu dikatakan pembohong besar?”. Jawab baginda: “Ya, sayalah yang dikatakan oelh kaum saya sebagai pembohong besar tetapi sebenarnya tidak”.Dengan muka yang tenang dan dengan tutur kata yang lembut, ‘Arab itu tiba – tiba berkata: “Muka seperti ini bukan muka seorang pembohong”. Lalu dia bertanya nabi s.a.w: “Apa yang kamu bawa? Cuba terangkan kepadaku” Rasulullah s.a.w menerangkan kepadanya tentang Islam dengan cara yang menarik dan menusuk hati. Akhirnya ‘Arab tadi berkata: “Aku beriman kepadamu dan aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi Muhammad itu Pesuruh Allah”.

Seperkara lagi yang amat penting dalam membicarakan uslub al – Mau’izoh al – Hasanah ialah pendakwah hendaklah menjadi model yang realiti, ikhlas dalam perkataan dan perbuatan, bukan hanya pandai bercakap tak serupa bikin. Rasulullah s.a.w menginagtkan kita dengan sabdanya:

“Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda: Didatangkan seorang lelaki (pendakwah) pada hari Qiyamah lalu dicampakkan ke dalam api neraka. Api neraka membakarnya hingga ke tali perutnya. Dia terseksa dan berpusing – pusing di dalam neraka seperti keldai berpusing – pusing di tempat kerjanya. Penghuni – penghuni neraka yang lain berkerumun kepadanya lalu mereka bertanya: Apa hal kamu ini? Bukankah kamu yang menyuruh kami melakukan kebaikan dan melarang kami kemungkaran? Jawabnya: Ya, aku menyuruh kamu membuat ma’ruf tetapi aku tidak melakukannya dan aku melarang menjauhi kemungkaran akan tetapi aku melakukannya” . (Riwayat al – Bukhari dan Muslim)


Selalunya berdakwah dengan contoh teladan yang praktikal lebih mendatangkan kesan mendalam daripada dakwah dengan pendekatan yang lain. Semuanya bergantung kepada waqi’ atau keadaan yang mengizinkan sesuatu tindakan yang bakal di ambil.

3.2.1 Uslub al – Murasalah / Cara menulis surat

Contoh baginda SAW menggunakan kaedah pengutusan surat – surat kepada pembesar – pembesar dunia pada zamannya bagi menyeru mereka menerima Islam juga perlu dikaji dan draktikkan. Baginda menyuruh para sahabat r.a untuk menulis surat untuknya dan surat – surat itu kemudiannya di hantar kepada an – Najasyi (raja Habsyah), Kaisar (Raja Parsi), Hiraqqel (Raja Rom), Maqauqis (pembesar Mesir) dan banyak lagi. Ada yang menerima dakwah Islam seperti an – Najasyi, ada yang mengakui kerasulan baginda s.a.w seperti Hiraqqel akan tetapi tidak menerima Islam dan ada yang menentang bahkan mencabar nabi s.a.w seperti Kisra.

Di dalam kitab Minhaj as – Solihin oleh ‘Izz al – Din Baliq ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w pernah meminta sahabat r.a menulis sekurang – kurangnya 33 pucuk surat yang akan dihantar ke dalam negara dan 29 pucuk surat yang akan dihantar ke luar negara. Kesemuanya mengandungi mesej dakwah yang menyeru mereka menerima Islam. Sekiranya tidak, mereka perlu mengiktiraf Islam sebagai agama dan sebuah kerajaan berdaulat di samping membayar jizyah. Sekiranya mereka enggan dan menentang Islam, maka gerakan futuhat (pembebasan) akan dihantar ke negara tersebut sehingga tunduk kepada Islam.

Uslub penulisan surat adalah salah satu cara yang praktikal dan boleh dicontohi. Namun penulisan tidaklah terhad kepada surat sahaja bahkan boleh dimanfaatkan teknologi terkini seperti media cetak, media elektronik, sistem pesanan ringkas (SMS), internet, 3G dan sebagainya. Umat Islam perlu berusaha lebih memandangkan kaum non – Muslim sudah lama mempraktikkan cara ini bagi menyebarkan dakyah batil mereka.


3.3 Uslub Ketiga: Al – Mujadalah


Terdapat 3 istilah yang dikaitkan dengan uslub ini:-

Mujadalah / Mujadilah (Bersoal – jawab)

Muhawarah (Berdialog)

Munazoroh (Berdebat / Berbahas)

Kesemua istilah ini boleh disimpulkan dengan perdebatan atau perbahasan antara dua belah pihak yang berselisih untuk menegakkan kebenaran dan menolak kebatilan dengan hujah – hujah yang bernas dan nyata. (Ma’alim fi manhaj al – Da’wah: 212 – 213)

Di dalam al – Qur’an al – Karim, antaranya Allah SWT menyebut:


“Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan Katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (Al-Quran) Yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, Kami patuh dengan berserah diri”. (Surah al – Ankabuut: 46)

“Dan jika mereka mengemukakan bantahan kepadaMu, maka katakanlah: “Allah Amat” mengetahui akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al – Hajj: 68)

Dan juga iktibar dari kisah dua orang sahabat di dalam surah al – Kahfi: “Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu Dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain. Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan Kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai. Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”. Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: “Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dan Aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah Aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu) , tentulah Aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini. Berkatalah rakannya kepadaNya, semasa ia berbincang dengannya: “Patutkah Engkau kufur ingkar kepada Allah Yang menciptakan Engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki? Tetapi Aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya Bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan Aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku. Dan sepatutnya semasa Engkau masuk ke kebunmu, berkata: (semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? kalau Engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu, Maka Mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) Dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus. Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka Dengan yang demikian, Engkau tidak akan dapat mencarinya lagi”. Dan Segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu Jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap Segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil Dia berkata: “Alangkah baiknya kalau Aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!” (Surah al – Kahfi: 32 – 42)


Jidal atau dialog di atas meskipun tidak memberi kesan segera kepada yang bongkak dan sombong tadi, tetapi menjadi pengajaran kepada pendakwah – pendakwah hari ini.


Contoh uslub dakwah di atas menunjukkan kepada kita bahawa hujah yang kuat boleh mematahkan lawan dan senjata dakwah ini sudah lama dipraktikkan. Sekiranya penyampaian yang disampaikan oleh pendebat / pembahas baik, maka akan jelaslah kebenaran dan akan luputlah kebatilan. Inilah metod yang digunakan oleh sebahagian pendakwah hari ini seperti Syeikh Ahmad Deedat r.h, anak muridnya Dr. ‘Abdul Karim Zakir Naik dan sebagainya. Penggunaan metod ini sangat ‘ilmiyah dan amat sesuai untuk menarik golongan elit atasan kepada kebenaran Islam.


3.3.1 Uslub Mujadalah dalam politik semasa


Pendekatan ini lebih sesuai dan memberi kesan dalam situasi ini. Namun, perlu diingatkan kepada para pendakwah sekalian bahawa menyediakan diri dengan ‘ilmu pengetahuan yang tinggi dan menguasai isu – isu semasa sangat penting sebelum berdialog mahupun berdebat. Penguasaan dan pemahaman yang jitu terhadap isi kandungan al – Qur’an dan as – Sunnah menjadi keutamaan bagi pendakwah terutama berhadapan dengan lawan yang juga beragama Islam. Apatah lagi sekiranya lawan tersebut seorang tokoh dalam sesuatu bidang agama akan tetapi gemar memutarbelitkan ayat – ayat Allah SWT dan hadith – hadith Rasulullah s.a.w seperti Astora Jabat, kumpulan Sisters in Islam dan sebagainya.


Situasi yang ada hari ini sangat memerlukan pendekatan dialog dan perdebatan. Pada kebiasaannya, pihak lawan akan cuba mengelak dan mencari pelbagai alasan helah untuk menggagalkan mujadalah. Pendakwah Muslim akan beruntung kerana dia dapat menyampaikan dakwahnya secara terang dan jelas di samping mematahkan hujah lawan sekiranya mujadalah diadakan. Jika berlaku sebaliknya, pendakwah tetap mendapat kemenangan percuma.


Pendakwah Muslim khususnya yang melibatkan diri dalam Siyasah as – Syar’iyyah (politik Islam), akan berhadapan dengan pelbagai dugaan, tuduhan dan fitnah yang berniat buruk terhadap kesucian agama Islam sepertimana fitnah golongan yang berfahaman sekularisme yang mengatakan politik perkara yang asing dalam Islam. Maka, pembelaan dan penjelasan terhadap isu seperti ini sangat perlu supaya maruah Islam tidak tercemar dan masyarakat tidak terkeliru dengan dakwaan ini. Cukuplah diterangkan dengan baik tentang konsep Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur (Negara yang baik dan mendapat pengampunan Tuhan) yang di sebut oleh al – Mawardi dalam al – Ahkam al – Sultaniyyah yang mengemukakan dalil – dalil yang cukup banyak dan kuat dari al – Qur’an dan as – Sunnah yang membuktikan kewajipan mendirikan negara Islam dan menguruskan alam dengan hidayah Islam sehingga terhapusnya fitnah.

4.0 KESIMPULAN DAN PENUTUP


Sesesorang da’i itu perlu menyediakan dirinya deangan persediaan rapi dan selengkapnya sebelum melangkah ke arena dakwah. Persedian ilmu tentang bentuk-bentuk pendekatan yang telah digariskan oleh Allah SWT dan segala yang dipraktikkan oleh baginda SAW dalah menjadi keperluan yang penting dan perlu diambil perhatian. Tersalah langkah, objektif dakwah akan tersasar malah memberi impak negatif bukan sahaja kepada diri da’i itu sendiri, tetapi juga mad’u dan masyarakat sekelilingnya.


Seorang majikan apabila mengendali dan menguruskan syarikatnya akan sedaya upaya mencari idea untuk memberi kepuasan kepada pekerja di bawahnya di samping memastikan produk/servis yang ditawarkan boleh dipasarkan sebaiknya. Begitu juga pendakwah, haruslah berfikiran kreatif dalam mempelbagaikan pendekatan atau uslub dakwah mereka. Mereka juga hendaklah mengetahui dan mengkaji perihal mad’u (orang yang menerima dakwah) supaya tidak tersalah uslub. Kesilapan tidak memahami kehendak mad’u akan mengakibatkan mesej Islam tidak sampai dan menjauhkan mad’u dengan hakikat Islam.

Rasulullah s.a.w adalah contoh unggul kecemerlangan seorang da’ie. Baginda tidak mengatakan sesuatu melainkan orang yang mendengar ucapannya akan tertarik terhadap mesej baginda. Cukuplah 23 tahun perjalanan dakwah baginda menjadi bukti bahawa penggunaan uslub yang tepat, betul dan mudah berjaya menarik pelbagai kabilah dan kaum menyerah diri kepada agama Allah SWT. Mereka bukan sahaja menerima ‘aqidah Islam bahkan sanggup mempertahankan Islam walaupun harta dan nyawa terpaksa mereka korbankan. Hasilnya, Islam berjaya mendirikan tamadun yang hebat dan kuat bermula pada zaman Rasulullah s.a.w, seterusnya di sambung oleh Khulafa’ ar – Rasyidin, Khilafah Umayyah, Khilafah ‘Abbasiyyah dan Khilafah ‘Uthmaniyyah.


Dakwah perlu diteruskan. Para pendakwah perlu menanamkan sifat sabar yang tinggi dalam dirinya. Sekiranya dakwah mereka dihina dan tidak diterima, janganlah terlintas dalam pemikiran mereka bahawa dakwah mereka telah gagal. Manusia hanya mampu berusaha. Sedangkan hidayah hanyalah dari Allah ‘Azza wa Jal. Kepada – Nyalah kita serahkan segalanya.

Rujukan:

- Ma’alim fi manhaj al – Da’wah

- USLUB DA’WAH (Pendekatan Dalam Berdakwah)

Oleh: Prof. Dato Dr. Harun Din

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

komentarilah jika ada keganjalan dalam artikel ini sehingga kita dapat mencapai kepuasan didalamnya